Saturday, February 5, 2011

Veteran askar ramai sakit buah pinggang??

RM29j dibelanja tampung kos rawatan dialisis


KUALA LUMPUR: Kegagalan buah pinggang menjadi penyakit kronik utama mengancam lebih 300,000 veteran tentera di negara ini selepas statistik Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia menunjukkan RM29 juta dibelanjakan bagi menampung kos rawatan dialisis 8,844 penerima bantuan jabatan itu tahun lalu.
Jumlah itu mewakili 72.5 peratus daripada RM40.1 juta peruntukan perubatan JHEV bagi menampung kos rawatan dan perubatan veteran tentera di hospital kerajaan bagi tempoh berkenaan.
Rawatan dialisis adalah proses terapi perubatan bagi memisahkan darah dan racun dengan mengalirkan darah pesakit menggunakan mesin khas yang perlu dilakukan purata tiga kali seminggu dengan setiap sesi menelan kos sekitar RM150.

Pengamal perubatan menyifatkan tekanan ketika dalam perkhidmatan, amalan pemakanan dan perubahan gaya hidup antara faktor penyumbang kepada penyakit itu dalam kalangan anggota tentera.

Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan, berkata 11,958 veteran tentera menerima bantuan perubatan tahun lalu membabitkan peruntukan keseluruhan RM40.1 juta.

Katanya, daripada jumlah itu, RM29 juta digunakan bagi menampung kos rawatan dialisis 8,844 penerima bantuan di hospital kerajaan, membabitkan 6,439 veteran menerima pencen dan 2,405 veteran yang tidak menerima pencen.
“Walaupun RM29 juta bagi menampung kos rawatan dialisis itu termasuk tanggungan veteran seperti isteri dan anak di bawah umur, ia menunjukkan penyakit kronik itu semakin ketara di kalangan veteran. Daripada keseluruhan RM40.1 juta diperuntukkan, RM2.8 juta adalah untuk membeli ubat-ubatan veteran yang menghidap penyakit kronik.

“Antara penyakit berkenaan adalah barah, kencing manis, buah pinggang dan sakit jantung,” katanya kepada Berita Harian sambil menambah walaupun veteran tentera layak memohon bantuan perubatan daripada jabatan itu, termasuk bantuan kerusi, alat bantu pendengaran, kanta mata, alat bantuan pernafasan, implan dan sebagainya.

Beliau berkata, permohonan boleh dibuat dengan mengemukakan tuntutan perubatan di hospital kerajaan sebelum ia diproses jabatan itu yang kemudian membayar kos rawatan dan perubatan atau membeli kelengkapan perubatan dan ubat yang diperlukan di farmasi.

Mengulas statistik itu, Dr N Mahendran dari Hospital Sungai Buloh, berkata penyakit buah pinggang boleh disebabkan stres yang dialami veteran tentera ketika masih bertugas selain amalan pemakanan dan gaya hidup tidak teratur.

“Biasanya amalan pemakanan dan gaya hidup tentera adalah teratur ketika mereka masih berkhidmat. Tidak ramai bekas tentera dapat meneruskan disiplin selepas mereka tamat latihan selain tidak menjaga pemakanan.

“Pengambilan alkohol juga antara faktor menyumbang kepada kegagalan buah pinggang kerana apabila pesakit perlu melakukan rawatan dialisis, bermakna tahap penyakit buah pinggang itu sudah kronik,” katanya.

No comments:

Post a Comment